Program Bitara STEM
PROGRAM BITARA STEM UKM
(Science, Technology, Engineering and Mathematics)
PENGENALAN
Program ini adalah satu usaha kerjasama antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), New York Akademy of Sciences (NYAS) dan New York University-Polytechnic (NYU-Poly) bertujuan untuk meningkatkan penglibatan pelajar berumur 13-14 tahun di dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) agar dapat bersaing dalam ekonomi abad ke-21. Program ini adalah antara disiplin dan pelbagai disiplin berasaskan amali, eksperimen dan demonstrasi. Pendekatan pembelajaran aktif program ini mempunyai unsur penerapan kemahiran abad ke-21 untuk meningkatkan kesedaran pelajar terhadap kerjaya dalam STEM. Melalui program pendidikan STEM ini, UKM mampu untuk berkongsi penyelidikan canggih dengan masyarakat.
LATAR BELAKANG
Program Bitara STEM UKM merupakan inisiatif di bawah Global Science and Innovation Advisory Council (GSIAC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia sendiri. Program ini merupakan salah satu Program Berimpak Tinggi GSIAC iaitu Human Capacity Building dan Cradle to Career (C2C). Bagi merealisasikan agenda C2C ini, pada bulan September 2013, satu MoA telah ditandatangani di antara UKM dengan NYAS dan NYU-Poly bagi melaksanakan program Bitara STEM iaitu Science of Smart Cities.
Konsep Program Bitara STEM ini adalah adaptasi daripada konsep pendidikan STEM oleh National Science Foundation (NSF) dengan kerjasama American Association for the Advancement of Science (AAAS) dalam usaha untuk membangunkan STEM di Amerika Syarikat. Konsep seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1 menunjukkan perhubungan Antara tiga entiti utama dan faedahnya: 1) Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2) Felo siswazah (Pelajar ijazah); 3) Guru, pelajar dan ibu bapa.
RASIONAL bagi program ini adalah untuk mencapaihasrat negara bagi menjadi negara berteraskan sains dan teknologi, usaha dan peluang bagi menyediakan tenaga kerja yang berasaskan sains dan teknologi perlu dilakukan. Lanjutan daripada itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menetapkan sasaran nisbah 60:40 pengambilan pelajar aliran sains berbanding pelajar aliran kemanusiaan dan sosial untuk meningkatkan penyertaan pelajar dalam sains dan teknologi. Pengambilan mengikut nisbah ini tidak terhad di peringkat persekolahan sahaja tetapi di peringkat universiti.
Objektif bagi Program Bitara STEM ini adalah:
- Menjadikan sumber manusia sebagai pemandu teknokrat dan sesuai dengan inisiatif Negara.
- Mencetus dan menimbulkan minat pelajar generasi baru untuk mempelajari STEM melalui pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar, pembelajaran berasaskan projek, aktiviti yang multi-disiplin dan pembelajaran melalui inkuiri.
- Menyediakan suasana pembelajaran sains yang menyeronokkan lalu mengurangkan ‘anxitey’ terhadap STEM dan seterusnya menyahkan perasaan takut terhadap STEM.
- Meningkatkan kemahiran proses sains, kemahiran abad ke-21, kemahiran saintifik, kemahiran berfikir aras tinggi (KEBAT) dan kemahiran penyelidikan pelajar-pelajar.
- Menyahkan salah konsep tentang konsep pengajaran dan pembelajaran sains yang difikir mesti dilakukan di dalam bilik darjah atau makmal sains.
- Meluaskan pandangan pelajar tentang aplikasi sains dalam kehidupan dan kerjaya dalam bidang sains dan teknologi.
- Meningkatkan keterlibatan (engagement) ibubapa pelajar sekolah melalui beberapa aktiviti bagi tujuan meningkatkan peranan ibubapa dalam pembudayaan STEM ini.
- Mencungkl bakat generasi baru yang tependam dalam pelajar.