Penggunaan teknologi eye-tracking untuk mengkaji penggunaan sumber dan media atas talian untuk pembelajaran

Kluster Paradigm Alternatif & Innovatif dalam Pendidikan (PAIP)

 

  1. Aktiviti-aktiviti Kumpulan yang diketuai oleh Prof Dr Thang Siew Ming

Penggunaan teknologi eye-tracking untuk mengkaji penggunaan sumber dan media atas talian untuk pembelajaran

Teknologi telah diiktiraf sebagai sebuah pemacu perubahan berkesan dan bakal mencetuskan inovasi dalam perancangan dan penyampaian pendidikan pada masa kini. Pelbagai kajian telah membuktikan bahawa kemajuan teknologi hari ini sangat berpotensi tinggi untuk membawa perubahan yang lebih meluas. Oleh yang demikian, salah satu fokus kumpulan penyelidikan ini adalah untuk memperkenalkan teknologi yang berinovasi supaya persekitaran pengajaran dan pembelajaran pelajar-pelajar Malaysia di sekolah, kolej dan universiti dapat ditambahbaik.

Dewasa ini, para pelajar hidup dalam dunia tanpa sempadan yang menawarkan talian, data dan mobiliti tanpa had. Keadaan ini bermakna bahawa mereka menginginkan sebuah sistem pendidikan yang memenuhi keperluan individu, dan memberi mereka peluang untuk berhubung dengan dunia luar. Peluang ini merupakan daya penggerak ke arah pengenalan inovasi teknologi dalam persekitaran pembelajaran para pelajar.

Bermula tahun 2014, kami telah membuat keputusan untuk menumpukan perhatian dalam penggunaan teknologi “eye-tracking” untuk mengkaji proses pembelajaran atas talian menerusi pelbagai jenis sumber dan media. Terdapat banyak kajian tentang pembelajaran atas talian yang menggunakan kaedah-kaedah konvensional seperti soal-selidik, temuramah, diari refleksi dan sebagainya. Justeru itu, penggunaan “eye-tracking” untuk penyelidikan yang berskala besar merupakan kajian pertama di Malaysia yang menyelidik proses pembelajaran atas talian di kalangan pelajar universiti di Malaysia.

Untuk mendalami bidang kajian ini, kami memerlukan pakar-pakar untuk memberi pengenalan yang mencukupi. Kami berasa bertuah dapat menjemput Profesor Dr Hong-Fa Ho seorang pakar dari National Taiwan Normal University (NTNU) ke Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan untuk berkongsi kepakarannya dengan kami. Penyelidik-penyelidik yang berminat dari fakulti-fakulti dan universiti-universiti lain turut menyertai kursus sehari yang disampaikan oleh Profesor Dr Ho. Kursus ini telah mencetuskan pelbagai jenis aktiviti jangka panjang iaitu:

 

  • Menandatangani satu MOU di antara pihak UKM dan NTNU
  • Sewaan mesin “eye-tracking” NTNU kepada UKM pada masa hadapan
  • Penghantaran fellow pelawat UKM yang merupakan penerima anugerah biasiswa dari kerajaan Taiwan ke NTNU untuk mempelajari teknik-teknik dan ilmu pengetahuan supaya beliau dapat membantu bidang kajian yang bakal dijalankan kelak. Pihak NTNU turut bersetuju menghantar seorang pembantu teknik ke UKM untuk memberi bantuan pada peringkat permulaan.
  • Makmal “eye-tracking” kini sedang disediakan di PPBL untuk tujuan penyelidikan
  • Matlamat utama kolaborasi adalah untuk penyelidikan dan penerbitan bersama antara pasukan penyelidikan daripada UKM dan NTNU

Perjalanan kami masih jauh tetapi masa depan penyelidikan “eye-tracking” di UKM adalah sangat cerah.

image001

 

 

 

  1. Aktiviti-aktiviti Kumpulan yang diketuai oleh Prof Dr Norazah Nordin

Sistem Pengurusan Pembelajaran e-HearMe bagi Komuniti Kurang Pendengaran

Pendedahan kepada pendidikan ICT telah menjadi suatu elemen yang sangat penting kepada semua pelajar termasuk pelajar yang cacat pendengaran. Adalah sangat penting untuk memastikan kumpulan pelajar ini tidak ketinggalan dalam arus pendidikan, dan seterusnya para pendidik perlu memberi persediaan kepada mereka untuk menghadapi alam pekerjaan. Pada masa kini, Malaysia masih menghadapi kekurangan alat bantu mengajar yang mampu memberi pendidikan ICT dan membantu proses pembelajaran ICT kepada komuniti kurang pendengaran.  Menurut Drigas (2004),  individu kurang pendengaran berhak mendapat pendidikan sebagaimana individu normal. Banyak inisiatif perlu dilakukan bagi membela komuniti sedemikian.  Persoalannya, bagaimanakah untuk memberi pendidikan ICT kepada komuniti kurang pendengaran ini dan bagaimana pula untuk menjadikan bahan pengajaran yang dibangunkan mudah diakses oleh komuniti kurang pendengaran ini. Bagi menjawab persoalan tersebut, sekumpulan penyelidik dari kumpulan Penyelidikan Media Alternatif dan Teknologi Pembelajaran telah berjaya membangunkan Sistem Pengurusan Pembelajaran (Learning Management System (LMS)), yang direka bentuk dan dibangunkan khas untuk komuniti kurang pendengaran, yang diberi nama e-HearMe (e-HearMe.net). Kandungan digital, yang dikenali sebagai e-kandungan bagi e-HearMe telah dibangunkan berasaskan strategi pembelajaran dan teori pembelajaran yang sesuai dengan komuniti kurang pendengaran ini bagi kursus Grafik Komputer. Teori Konstruktivisme, Teori Pembelajaran Kolaboratif, Teori Beban Kognitif dan Teori Pembelajaran sosial Kognitif serta Strategi pembelajaran Pembelajaran Aktif telah diadaptasi dalam fasa reka bentuk. E-Kandungan yang dibina termasuk pangkalan data Kod Tangan Bahasa Melayu (KTBM), yang dibina dalam bentuk video. Pelajar kurang pendengaran di Sekolah Teknik dan Vokesional di seluruh negara telah menjadi sampel kepada penyelidikan ini. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa pelajar kurang pendengaran telah menunjukkan prestasi yang memberansangkan dan berpotensi dalam proses pembelajaran Grafik Komputer. Justeru, komuniti kurang pendengaran perlu diberi peluang samarata dengan pelajar normal bagi mengikuti kursus berkaitan ICT. Sekolah Teknik dan Vokesional pula perlu meneliti semula kurikulum dan perlu menawarkan pelbagai kursus ICT kepada komuniti kurang pendengaran ini kerana pelajar kurang pendengaran ini berpotensi untuk cemerlang dalam bidang ICT.

image004 image003

 

 

 





LaporanKlusterPAIP_5